Pages

Monday, January 26, 2009

Pertama

HAMPIR sebulan sudah aku mengadap permainan komputer. Bosan dengan permainan komputer, aku melayan play station 2 milik abangku, Hussein. Beginilah kehidupanku setelah tamat belajar. Ingin mencari kerja, abah menyarankanku untuk berehat sebulan dua. Aku ikutkan saja.

“Suci.. Suci..!” Aku terdengar mama melaung memanggil namaku. Nur Kasih Suci. Itulah nama hasil gabungan nama pilihan mama dan abahku.

Mama beria ingin meletakkan nama Nur Suci tetapi abah inginkan Nur Kasih. Untuk tidak mengecewakan kedua-dua belah pihak, atukku menyarankan agar meletakkan kedua-dua nama itu. Kelakar pula diingatkan sewaktu atukku bercerita kepadaku bagaimana nama Nur Kasih Suci terhasil.

Akibatnya, mama memanggilku Suci, dan abah memanggilku Kasih. Adik beradikku memanggilku Adek. Kecuali adikku memanggilku Kak Ci.

“Ni kenapa Suci tersengih-sengih ni? Cepat la tolong mama angkatkan tong gas ni,” pinta mama. Kasihan aku melihat mama berusaha mengalihkan tong gas yang berisi ke bawah dapur.

Aku tersenyum meleret sambil membantu mama. Kasihan, mama memiliki tubuh yang kecil. Kami anak-anaknya semua mengikut tubuh abah yang tinggi dan tegap. Tetapi adikku, Mawar kelihatan seperti mungkin mengikut tubuh mama. Mawar masih bersekolah tadika.

Setelah membantu mama mengangkat tong gas, aku ke ruang tamu menonton televisyen. Nak membantu mama masak? Mungkin belum waktunya. Aku benar-benar tiada hati untuk belajar memasak lagi. Sememangnya aku tak tahu apa-apa dalam bab masakan ini.

“Kak Ci!”

Sedang aku leka menatap televisyen, aku terdengar suara manja Mawar memanggil namaku. Sudah jam satu. Mawar baru pulang dari tadikanya. Kelihatan abah sedang menutup pagar rumah.

“Kak Ci tak tolong mama masak?” soal Mawar sambil menanggalkan tudung comel yang membaluti kepala dan rambutnya.

“Kak Ci tak tahu masak,” aku berbisik ke telinga Mawar. Mawar ketawa kerana mungkin lucu melihat aku yang membuat reaksi malu.

“Kak Ci kena la belajar. Kalau Kak Ci tak belajar, tak tahu la,” Mawar turut berbisik ke telingaku. Aku tersenyum. Mawar bijak berkata-kata.

“Nanti Kak Ci belajar. Sekarang Mawar pergi mandi. Busuk la. Kak Ci tak tahan,” gurauku sambil menutup hidung berlagak seolah-olah ada bau busuk.

Jari Mawar sempat singgah ke pehaku ketika dia beredar ke bilik air. Aku berpura-pura sakit.


“KASIH, abah ada kerja untuk kau. Kerja dengan Datuk Malik. Nak tak?” soal abah sewaktu kami semua sedang menjamu selera.

Aku termenung seketika. Mungkin abah sengaja minta aku berehat sebulan dua kerana dia sendiri ingin mencarikan kerja untukku. Sejak kecil, kehidupanku diatur dan diuruskan abah. Jarang aku membuat keputusan sendiri.

“Kerja apa?” abangku Fadhil bertanya bagi pihakku.

“Programmer.” Jawab abah.

“Tapi bukan Adek ambil Multimedia ke?” Abang Fadhil mempersoalkan. Aku pun tidak tahu. Soalan itu untukku atau untuk abah.

“Abah tahu. Tapi Kasih ada juga belajar programming kan?” kali ni pertanyaan abah adalah untukku.

“Err.. Ha’ah. Memang ada, tapi basic je la,” jawabku.

“Boleh la tu. Nanti pandai-pandai la mereka ajar Kasih,” abah seperti sudah memberikan kata putus.

Aku tidak berani membantah. Sejak dulu, aku hanya mengikut telunjuk abah. Abah kata hitam, maka hitam la aku ikutkan.

Abang Fadhil seperti tidak berpuas hati. Dia bangun dan terus beredar ke biliknya yang dikongsi bersama Abang Hussein dan Abang Qayyum. Pinggannya yang masih penuh berisi dibiarkan begitu sahaja.

Aku memandang ke arah mama. Mama hanya mampu menggeleng melihat sikap Abang Fadhil. Sejak kecil, Abang Fadhil tidak pernah sebulu dengan abah. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan Abang Fadhil. Sebabnya, aku sendiri tidak tahu.

Selepas makan, aku membasuh pinggan mangkuk kotor. Mawar membantu mama mengemas meja makan. Abah ke ruang tamu membaca akhbar. Dua lagi abangku keluar entah ke mana.

Abang Hussein mungkin berjumpa tunangnya, Kak Hani. Mungkin ingin membeli barang-barang persiapan perkahwinan yang tinggal lagi tiga bulan. Selepas tiga bulan, aku akan mempunyai kakak ipar. Tak sabar pula rasanya.

Tiba-tiba aku terasa ingin menonton wayang. Dah lama juga tak pergi menonton wayang. Tapi dengan siapa? Aku berkira-kira seorang diri. Semua rakan-rakanku sudah bekerja. Aku seorang yang masih terperuk di rumah.

“Mawar!” aku menjerit seorang diri. Mawar yang berdiri di sebelahku terpinga-pinga. Aku ketawa melihat reaksinya.

No comments:

Post a Comment