Pages

Monday, February 2, 2009

KEDUA

BEE THE MOVIE menjadi santapan kami berdua di panggung. Seronok juga. Lebah boleh bercakap dengan manusia. Lucu pula aku. Aku sememangnya suka menonton wayang sebegini. Kata mama, mengalahkan budak kecil pula aku ni. Di rumah, siaran kartun sentiasa menjadi santapan aku. Kadang-kadang sampai berebut dengan Mawar.

Habis menonton wayang, aku membawa Mawar berjalan-jalan di Bukit Bintang dan Sungei Wang. Kemudian menjamu selera di restoran McDonald. McFlurry Chocolate serta set Fillet O Fish menjadi pilihan.

Kami makan dengan penuh selera. Seperti orang yang tidak makan dari pagi lagi. Sedangkan, sebelum keluar, kami sudah makan. Dua pinggan aku menyental tengah hari itu. Tapi mungkin selama hampir 2 jam di dalam panggung, aku menjadi lapar kembali.

“Kak Ci, tu bukan abang yang duduk sebelah Kak Ci ke tadi?” soal Mawar tiba-tiba sambil menunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang duduk di meja bertentangan.

“Entah la. Kak Ci tak perasan la Mawar. Kenapa?” aku menyoal kembali.

“Dia asyik pandang Kak Ci je dari tadi,” beritahu Mawar.

Pandang aku? Kenapa pulak?

Aku meneliti bajuku. T-shirt longgar berkolar yang berwarna hijau muda kelihatan bersih. Aku meraba-raba wajahku jika ada sisa-sisa McFlurry yang comot di wajahku. Tiada! Aku bingung. Perasan pun ada.

Sebab aku cun kot? Aku tertawa sendiri.

“Eh, Kak Ci ni ketawa sorang-sorang pulak!” tegur Mawar. Pelik melihat aku. Aku jadi malu sendiri.

Siapa tak perasan kalau ada lelaki kacak asyik terpandang-pandang. Aku bukannya ingin membangga diri atau perasan. Tapi aku mengaku aku memiliki wajah yang boleh mencairkan mana-mana lelaki. Tetapi, entah di mana silapnya. Aku tak pernah memiliki kekasih sepanjang hidupku.

Entah bilalah prince charming aku nak muncul? Aku bermonolog.

“Kak Ci tak nak ke kentang goreng ni? Kalau Kak Ci tak nak, Mawar nak boleh?” Mawar bertanyakan kentang gorengku yang belum terusik.

“Eh, mestilah nak! Sibuk la Mawar ni nak Kak Ci punya pulak!” dengan spontan aku mengambil kentang goreng dengan lagak kebudak-budakkan yang takut barangnya diambil orang.

Kemudian aku makan dengan penuh khusyuk. Langsung tidak mengendahkan Mawar yang seperti kecewa kerana tak dapat apa yang diingininya. Aku pula langsung tidak menghulurkan sedikit pun.

“Ini untuk adik. Kasihan kakak adik. Lapar tu. Sebab tu tak bagi kat adik.” Tiba-tiba lelaki kacak yang duduk di depan mereka menghulurkan kentang goreng kepada Mawar. Aku menjadi malu bila lelaki itu seperti memerliku.

Tetapi Mawar menolak dengan lembut. Dia menggeleng mengatakan tidak mahu. Katanya, ustazah tak bagi mengambil sesuatu daripada orang yang tak dikenali. Aku perasan air mukanya berubah. Mungkin malu pemberiannya ditolak.

Aku pula jadi serba salah. Kalau aku ditempat lelaki itu, mesti aku malu semalu malunya. Nak buat macam mana ni?

“Mawar boleh ambil. Abang ni kawan Kak Ci.” Spontan aku mengeluarkan kata-kata itu. Kawan aku? Nama dia pun aku tak tahu. Aku lihat mata Mawar bersinar-sinar. Dia mengambil kentang goreng itu dengan gembiranya sambil mengucapkan terima kasih.

Dengan selambanya juga, lelaki itu duduk di meja kami. Bertentangan denganku. Aku jadi tak keruan. Mana tidaknya, lelaki itu seperti khusyuk menatap wajahku yang dilindungi topi berwarna hijau tua.

Keadaan menjadi sunyi sepi. Serasa seperti tiada langsung manusia di sekeliling kami. Macam dalam drama televisyen pula. Aku tertawa tanpa disedari.

“Apa yang lucunya?” lelaki itu bertanya.

Aku tergamam. Menahan malu. Mana tidaknya, aku ketawa secara tiba-tiba. Mesti pelik dilihat orang.

Tanpa sepatah kata. Aku menarik Mawar yang masih mengunyah kentang goreng. Lelaki itu ku biarkan terpinga-pinga. Sebenarnya, aku tidak tahu apa yang patut aku buat. Lelaki itu muncul secara tiba-tiba.

Kedengaran bebelan Mawar yang terkejut dengan tingkahku. Aku pula langsung tidak mempedulikan bebelan Mawar. Seperti orang bisu tingkahku. Mawar ku pimpin sampai ke kereta. Lalu pulang ke rumah.


RUMAHKU dipenuhi ramai orang ketika aku sampai. Saudara maraku kelihatan seperti sibuk menyiapkan sesuatu. Seperti persiapan perkahwinan.

Tetapi setahu aku, perkahwinan Abang Hussein lagi tiga bulan. Siapa pulak yang nak kahwin ni? Aku tertanya sendiri. Rasanya aku keluar dengan Mawar tidak lah terlalu lama.

“Ha, balik pun Suci. Puas mama telefon Suci. Tapi tak dapat. Kenapa?” mama yang tiba-tiba muncul di pintu tergesa-gesa mendapatkanku yang masih tercegat di tangga.

“Ada apa ni mama?”aku bertanya. Telefonku kehabisan bateri. Sebab aku terlupa mengecasnya.

“Abang Hussein dengan Kak Hani kahwin minggu depan. Terpaksa cepatkan sebab Kak Hani dapat tawaran belajar kat UK. Jadi, Abang Hussein nak ikut Kak Hani ke sana nanti,” beritahu mama ringkas.

Wah, biar betul! Aku seperti tak percaya. Kak Hani dapat belajar di UK. Abang Hussein ke UK. Kejutan apakah ini? Menggembirakan atau sebaliknya?

Aku tidak tahu reaksi apa yang perlu aku pamirkan di hadapan mama. Gembirakah? Sedihkah? Aduh..!

Baru ingin merasa kehadiran seorang kakak, tiba-tiba aku akan kehilangan seorang abang. Kehilangan? Mereka pergi buat sementara waktu. Bukan pergi bersuka ria. Aku memujuk diri.

Takkanlah Abang Hussein ingin membiarkan Kak Hani ke sana seorang diri. Mestilah dia takut. Kak Hani cantik. Mungkin takut dikebas mat saleh yang jauh lebih kacak daripada Abang Hussein. Ah, Abang Hussein pon apa kurangnya. Mungkin jika berjauhan, tak dapat menanggung rindu. Lebih baik mereka bersama ke mana saja.

Alangkah bahagianya ada seseorang di sisiku seperti Abang Hussein. Menyayangi diriku, mengambil berat serta mencintaiku sepenuh hati.

Bayangan lelaki di McDonald tadi tiba-tiba berlegar-legar di layar ingatan. Ah, kenapa mesti dia yang aku fikirkan? Aku cuba membuang jauh bayangannya.

“Suci!”

Laungan mama membuatkan lamunanku terhenti. Kebelakangan ni, kuat betul aku mengelamun. Memang aku ni tiada kerja lain. Bergegas aku mendapatkan mama yang mungkin sudah berada di dapur.

Sepanjang laluanku mendapatkan mama, aku bersalaman dengan saudara maraku. Nasib baik mereka tinggal berhampiran dengan rumahku. Paling jauh pun di Tanjung Malim. Jadi aku memang mesra dengan mereka semua.

Di sudut ruang tamu, aku melihat seorang lelaki seperti lelaki di McDonald tadi. Berdegup kencang jantungku. Mujur bukan lelaki itu. Aku mengurut dada lega. Sepupuku rupanya. Salim. Memang ada iras-iras lelaki tadi.

Kurus tinggi, berkulit putih, berambut lurus. Tetapi Salim berjambang. Lelaki tadi kelihatan kemas wajahnya. Jerawat pun tiada.

Di bandingkan dengan wajahku, meskipun tiada jerawat, tetapi bekas-bekas parut jerawat dahulu masih ada. Malas pula ingin ke pusat kecantikan merawat kulit muka ku ini. Tempek sikit bedak, tak nampaklah kesan-kesan itu lagi.

“Kau apa cerita? Bila nak kerja?”

“Entahlah, Salim. Abah aku dah ada kerja untuk aku. Maybe next month aku dah kerja la. Company kau apa cerita?”

“Maju lah sikit. Baru setahun kan. Aku baru nak offer kau kerja dengan aku. Susah la nak cari yang betul2 kreatif sekarang ni. Customer pulak asyik nak something different. Tak nak apa yang orang dah buat. Susah la camni. Ye tak?” adu Salim seolah-olah meminta simpati.

CreatDesign Enterprise yang dimiliki Salim baru setahun beroperasi. Syarikat kecil yang mengambil tempahan membuat iklan, kad undangan dan sebagainya yang berkaitan dengan grafik. Abang Hussein dan Kak Hani juga menempah kad undangan dari syarikat Salim.

“Itu kau kena tanya sendiri dengan abah aku. Aku tak berani buat keputusan sendiri. Kau ada nampak mama aku tak?”

“Kat dapur agaknya.”

Aku terus berlalu ke dapur. Aku melihat mama sedang menyediakan makanan dan minuman untuk tetamu yang agak ramai ini. Mungkin mereka semua akan tidur di sini.

Nasib baiklah rumah kami dua tingkat walaupun kami tinggal di apartment, rumah di tingkat atas ada dua tingkat untuk satu rumah.

No comments:

Post a Comment