Pages

Thursday, February 12, 2009

Ketiga

ABANG Hussein dan Kak Hani sudah pun seminggu berlepas ke United Kingdom. Aku pula baru mula bekerja semalam. Kerjaku agak susah ingin dilakukan. Mungkin kerana pengetahuanku yang terhad tentang programming. Aku lihat, Dewi yang disuruh mengajarku juga seperti bosan denganku yang seperti tidak tahu apa-apa. Bengang barangkali.

Datuk Malik telah aku maklumkan dari awal tentang pengetahuanku yang terhad ini. Tetapi katanya, dia tidak kisah. Kerana aku cuma pembantu Dewi. Aku hanya perlu belajar daripada Dewi.

“Dewi, I minta maaf ya?” waktu rehat itu aku mengambil kesempatan memohon maaf pada Dewi.

“Eh, kenapa pula?” Dewi tertanya-tanya. Hairan barangkali.

“Actually, I tak berapa tahu sangat tentang programming. I memang ada Diploma Sains Komputer, tapi untuk degree I ambil multimedia,” jelasku. Aku tidak mahu Dewi bosan dengan aku yang seperti orang bodoh ini.

“Oh, that’s why la? Never mind. I ni memang nampak macam garang. Tapi I ni baik,” Dewi berseloroh memuji diri.

“Tak malu la you ni. Boleh pulak puji diri sendiri.”

Kami ketawa bersama. Seperti sudah lama berkenalan.

Sepanjang waktu rehat, aku berbual dan mengambil peluang mengetahui tentang selok belok syarikat Datuk Malik ini. Serba sedikit tentang latar belakang Datuk Malik.

Memiliki dua orang isteri dan sepuluh orang anak. Hebat juga orang tua ini. Tapi tidak mustahil kerana jelas kelihatan dia mampu memiliki lebih seorang isteri.

Kami kembali menyambung kerja. Aku hanya membantu Dewi apa yang perlu. Dewi kelihatan agak tegas sewaktu bekerja. Lain benar sikapnya ketika kami berbual tadi. Dewi benar-benar boleh dikategorikan sebagai pekerja yang profesional pada anggapanku.


RAMAI juga staf lelaki yang tampan-tampan di sini. Semua segak bergaya. Tapi mustahil mereka masih solo. Sudah pasti hati masing-masing sudah dimiliki. Bilalah aku akan memiliki teman istimewa?

Bukan tidak mahu. Tetapi seperti tiada siapa yang menginginkanku. Aku tidak pernah diberi perhatian oleh lelaki sejak zaman persekolahan lagi. Tidak seperti teman-temanku yang lain.

Aku membelek-belek wajahku di cermin. Boleh tahan juga wajahku. Teringat pula akan kata-kata kawanku sewaktu di sekolah dahulu.

“Aku ingat kau ni sombong dulu. Muka macam tak layan orang. Bila dah kenal, baru tahu kau macammana. Gila-gila jugak rupanya!”

“Mana ada aku sombong. Aku cuma tak tahu nak layan orang yang aku tak kenal. Dah kenal lain cerita.”

Kenangan zaman persekolahan aku biarkan berlalu begitu sahaja. Aku meneruskan kerjaku. Petang nanti aku perlu terus ke Taman Ukay Perdana. Menanti perabot tiba. Abang Hussein minta aku tinggal di rumahnya sepanjang ketiadaannya. Rumah itu sepatutnya dihuni oleh Abang Hussein dan Kak Hani selepas pernikahan mereka. Tetapi rancangan berubah dalam sekelip mata. Mereka sekarang berada di United Kingdom.

Minggu depan Abang Fadhil ingin menemaniku tinggal di rumah yang agak besar itu. Lagipun, tempat kerja kami tidak jauh dari rumah milik Abang Hussein itu. Aku fikir, Abang Fadhil sengaja mencari alasan untuk tidak tinggal sebumbung dengan abah. Dari dulu lagi dia ingin berbuat demikian. Tetapi dihalang mama.

Tetapi kini, mama mengizinkan kerana mungkin risau juga aku tinggal sendirian di tempat baru. Taman Ukay Perdana dengan Ijok sememangnya agak jauh.

Tepat jam lima petang, aku bersiap-siap mengemaskan mejaku. Pekerja-pekerja lain ada yang masih bekerja, dan ada yang sudah pulang lebih awal. Dewi sudah berpesan aku boleh pulang awal untuk hari ini. Sengaja aku menunggu jam lima baru aku bangun dari tempatku.

Di dalam lif, aku berdua-duan dengan seorang jejaka Melayu. Tampan dan segak juga. Agaknya kami ingin menuju ke tingkat yang sama kerana lelaki itu tidak menekan sebarang punat nombor. Aku berkira-kira ingin menegurnya.

“Hai, dah lama ke kerja di sini?” aku memberanikan diri bersuara. Itupun setelah hampir lima tingkat kami lalui.

“Er.. Tak adalah lama sangat.” Lelaki itu seperti tidak menduga pula aku ingin menegurnya. Raut wajahnya terpinga-pinga.

“Boleh ke kita berkenalan?” aku cuba berbahasa.

“Boleh, apa salahnya. Saya Amir.” Lelaki segak berbaju kemeja kosong berwarna putih itu menghulurkan tangan tanda salam perkenalan.

“Saya Kasih,” aku menyambut salamnya.

“Kasih?” lelaki itu tertanya-tanya.

“Ye, Nur Kasih Suci. Panggil saya Kasih saja. Nak panggil Suci pun boleh juga,” aku menjelaskan lebih lanjut. Jarang nama Kasih diberikan sebagai nama.

“Oh, sedap nama tu. Jarang orang guna. Kasih orang baru ya?”

“Ya, baru semalam saya masuk kerja. Datuk Malik tu kawan abah saya.”

“Oh, begitu.”

Suasana menjadi sunyi seketika. Seminit kemudian, pintu lif terbuka. Kami jalan beriringan menuju ke tempat parkir kereta. Dalam perjalanan kami berbual sedikit. Sempat juga bertukar-tukar nombor telefon.


DARI jauh aku lihat seorang wanita muda berjalan dengan lajunya menuju ke arah kami. Aku mula tak sedap hati. Wajah berang wanita itu membuatkan aku rasa ingin berlari sejauh mungkin. Tapi apa pula orang kata nanti. Tiba-tiba aku berlari macam pesalah pula.

Belum habis aku berangan yang merapu, aku sudah merasa pipiku panas. Aku kena lempangkah? Kenapa? Apa salah aku sampai kena lempang? Seumur hidup aku tidak pernah dilempang oleh sesiapa.

“Sarah! Apa you buat ni?” Amir bersuara lembut memegang bahu wanita yang dipanggil Sarah itu.

“Betul la apa yang I dengar! You ada affair dengan officemate you!” Sarah terjerit-jerit. Macam orang kena histeria.

“Sarah, please! Dari mana you dengar semua tu? Dari kakak you yang suka mereka cerita tu ke? Hey, bawa beristighfar Sarah. Budak ni baru masuk kerja semalam. Masa bila pula I nak buat affair dengan dia?” tegas suara Amir. Tapi masih mendatar.

Eh! Aku dipanggil budak? Budak sangatkah aku ni? Amboi, main sedap mulut saja mamat ni berkata-kata. Ini boleh mendatangkan marah. Dah la aku kena lempang. Lepas tu bahasakan aku budak. Isk, melampau.

“Hey, korang ni apahal ha? Sorang lempang aku, yang seorang lagi panggil aku budak? Wei, boleh tak sebelum buat apa-apa tindakan fikir dulu benda tu patut atau tak korang buat. Kau orang ingat aku ni patung apa?” tanpa aku sedari, aku melepaskan geramku pada mereka sebelum aku berlalu ke kereta dan memandu pulang ke rumah.

No comments:

Post a Comment